Tuesday 13 September 2011

Bahagianya Rasulullah s.a.w.

Assalamualaikum.. ^^

Malam tadi aku bace satu majalah nie, dan ade satu kisah mengenai kebahagiaan yang aku nak kongsi ngan korang. Sharing is caring kan? So, moh le kite... ^^

Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan ujian-ujian hidup yang lain adalah kecil berbanding kematian. Kematian ialah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi, atau kita sendiri yang meninggalkan mereka.

Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah s.a.w. Baginda menghadapi kematian orang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula daripada dalam kandungan, Baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya, Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya, Aminah, pula meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih sayang, datuknya Abdul Muttalib pula pergi buat selama-lamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah s.a.w. ditinggalkan lagi. Abu Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Tinggallah Rasulullah s.a.w. dengan kekasih hatinya, Khadijah. Namun, tidak berapa lama kemudian Khadijah pula mengikut jejak bapa saudaranya. Lalu tahun itu dinamakan "Tahun Kesedihan".

Baginda dikurniakan enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah s.a.w. dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan Baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.

Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hassan dan Hussin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, daripada ilham Ilahi, Baginda tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa kedua-duanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Hussin di Karbala.

Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika Baginda sendiri pergi meninggalkan orang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika Baginda terbaring di hamparan usang, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan... ketika itulah Baginda menyebut, 

"Rafiqil a'la, rafiqil a'la.."
yang bermaksud
"Teman daerah tinggi (yakni Allah), teman daerah tinggi!"

Dalam "kamus" kehidupan para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu rindunya Baginda untuk menemui bertemu Allah - cinta hakiki dan sejatinya. Itulah "teman daerah tinggi" yang sangat dirindunya. Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa. Namun begitu, pada saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat Baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan kita... umat yang ditinggalkannya.

Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah s.a.w. tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan oleh pembantunya, Anas bin Malik, dengan pengisahannya:

"Aku menjadi khadam Rasulullah s.a.w. 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah Baginda berkata atas apa yang aku kerjakan, 'Mengapa engkau kerjakan?'. Tidak pernah pula Baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan, 'Mengapa engkau tidak kerjakan?'. Tidak pernah Baginda berkata pada barang yang ada, 'Mengapa ada pula barang ini?'. Tidak pernah Baginda berkata pada barang yang tidak ada, 'Alangkah baiknya kalau barang itu ada.'. Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya, Baginda akan berkata kepada keluarganya, 'Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!'."

Cubalah mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki itu. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kata kunci itu ialah:

"Ana abdullahi walan yudhi'ani"
yang bermaksud,
"Aku hamba Allah, dan Dia tidak akan mengecewakanku!"

note : renung-renungkan bersama.. :)

1 opinion(s):

Nurul Hazwani said...

Assalam,

Subhanallah...bahagianya Rasulullah

All right booked by mybloggingpart.blogspot.com